PENTARAMA wadah penyampaian mesej positif, semangat patriotisme



​​


Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas






BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Julai. - Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara diteruskan lagi malam tadi dengan persembahan PENTARAMA bertempat di Pentas Perayaan, Kawasan Letak Kereta berhadapan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja, di ibu negara.


Persembahan PENTARAMA merupakan anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik.


Hadir selaku tetamu kehormat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali; Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi; Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim; Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Awang Amirul Syukri bin Haji Hafneh; serta Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung di bawah Mukim Serasa dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.


Persembahan dimulakan dengan lagu tema PENTARAMA dan tarian oleh Penari Arts and Culture Club dari Cosmopolitan College, diikuti dengan persembahan nyanyian solo dan berkumpulan oleh artis-artis tempatan seperti Rasyiqah, Dayat, Krunn dan Yanie.


Menjadi tumpuan malam ini ialah persembahan drama pentas bertajuk 'Medsos Melalaikan' oleh Kumpulan Pentas Insan Seni yang menyentuh isu ibu bapa yang terlalu leka dengan media sosial sehingga mengabaikan tanggungjawab agama, nilai adab dan peranan mendidik anak, yang akhirnya membawa kepada tragedi apabila anak mereka terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.


Penonton turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh dari kumpulan BruHaha, yang menyampaikan mesej penting mengenai kewaspadaan dalam penggunaan media sosial bagi mengelakkan penipuan dalam talian.


Acara turut diserikan dengan Kuiz PENTARAMA, di mana hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada para pemenang.


Persembahan diakhiri dengan lagu Dirgahayu oleh barisan artis sebagai tanda penghargaan dan semangat cintakan negara.


PENTARAMA akan diteruskan ke daerah-daerah lain, iaitu di Daerah Belait pada Sabtu, 2 Ogos 2025 bertempat di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji dan akan berakhir di Daerah Tutong pada Ahad, 3 Ogos 2025 berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong.


Orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi memeriahkan lagi persembahan tersebut sebagai tanda sokongan dan kecintaan terhadap raja dan negara.


PENTARAMA adalah singkatan kepada pentas, tari dan drama iaitu merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan sejak tahun 1988 untuk menyampaikan maklumat rasmi secara langsung melalui pendekatan berunsur hiburan ('infotainment').


Program ini bertujuan mendidik serta menyampaikan mesej-mesej berkaitan nilai positif, kesedaran sivik, patriotisme, keagamaan, pendidikan, serta isu semasa seperti penyalahgunaan dadah, penularan berita palsu dan gejala sosial lain dalam masyarakat.

 

Close